Jawatankuasa Pemilihan Parti Akan Siasat Rafizi – Datuk Seri Dr Wan Azizah

Jawatankuasa Pemilihan Parti Akan Siasat Rafizi – Datuk Seri Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR akan menjalankan siasatan terhadap kenyataan calon Timbalan Presiden, Rafizi Ramli berhubung dakwaan pemilihan parti itu ‘diselubungi’ dengan politik wang.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau mengakui tidak mengetahui perkara itu yang baru diketahui setelah ditanya media hari ini.

“Awak (wartawan) dah tanya, sekarang baru saya tahu.

“Kita akan siasat (dakwaan Rafizi), JPP yang akan siasat (dakwaan itu),” katanya pada sidang media di lobi Parlimen pada majlis penyerahan sumbangan bernilaiRM315,000 bagi membantu penduduk yang terjejas akibat tsunami dan gempa bumi Palu dekat Sulawesi, Indonesia.

Hadir menyerahkan replika cek adalah Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan wakil Majlis Agama Islam Johor (MAIJ).

Semalam, Rafizi mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai ‘sebelah sana’ mendakwa, suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

“Ada perkara yang buat saya tidak tidur lena (selepas melalui pemilihan di enam negeri). Minggu depan (Sabtu ini), saudara-saudara akan bersaing dalam peringkat cabang dalam satu suasana yang tidak pernah kita tengok… dengan wang bertaburan di bawah.

“Anda akan berhadapan saingan peringkat cabang yang ada (pihak) sumbangkan wang (kepada) satu cabang RM100,000, RM200,000 untuk berdepan saudara-saudari.

“Ada tempat di negeri lain yang (pemilih) ditawarkan satu undi RM100. Saya sebut awal-awal supaya anda semua jangan terkejut.

“Sebab itu (ada pihak) buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). (Ada yang tawarkan) undi akan dapat projek,” katanya.

Rafizi menentang penyandang kerusi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada pemilihan parti itu.

Sumber : Berita Harian

Anwar Akan Panggil Rafizi

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memanggil Rafizi Ramli berhubung dakwaannya mengenai wujud politik wang dalam pemilihan PKR.

Ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini, bakal Presiden PKR itu mahu mendapatkan maklumat daripada Rafizi yang juga calon Timbalan Presiden.

Anwar berkata, beliau juga akan membawa perkara itu dalam mesyuarat biro politik malam ini.

“Kita akan tanya beliau (Rafizi) maklumat (dakwaan politik wang) terlebih dahulu.

“Malam ini saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat birp politik PKR,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Rafizi yang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini, mendakwa politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan.

Beliau yang merujuk pihak bertanggungjawab sebagai ‘sebelah sana’ mendakwa, suasana politik wang itu tidak pernah dilihat dalam PKR sebelum ini.

Dakwanya, terdapat cabang yang menerima sogokan dalam bentuk sumbangan sebanyak RM100,000 dan RM200,000 untuk berdepan saudara-saudara dalam saingan di peringkat cabang.

Rafizi mendakwa, ahli PKR yang mudah terpengaruh adalah golongan muda yang tidak melalui zaman sukar parti itu dan pihak yang menggunakan wang juga biasanya ‘orang muda’ yang datang dengan poket penuh dan tebal.

Sumber : Berita Harian