Pak Ngah Suhaimi Sudah Tiada, Rebah Di Batam, Indonesia. Al-Fatihah !!

Pak Ngah Suhaimi Sudah Tiada, Rebah Di Batam, Indonesia. Al-Fatihah !!

KUALA LUMPUR: Pejuang lagu irama Malaysia, Datuk Suhaimi Mohd Zain, atau lebih mesra disapa sebagai Pak Ngah, meninggal dunia di Batam, Indonesia pada pukul 3.02 petang tadi.

Mengesahkan berita duka itu, penyanyi terkenal Noraniza Idris berkata beliau dimaklumkan mengenai pemergian Pak Ngah menerusi anak komposer itu.

Penyanyi yang popular dengan lagu “Cindai”, Datuk Seri Siti Nurhaliza berasa sedih di atas pemergian komposer lagu tersebut menyifatkan pemergian Pak Ngah satu kehilangan besar kepada industri muzik khususnya karya-karya irama etnik tradisional.

”Karya beliau akan terus hidup meskipun setelah ketiadaannya.

“Kenangan, gurau senda dan didikan Pak Ngah akan terus dalam ingatan kerana selain Allahyarham Adnan Abu Hasan, beliau adalah antara individu yang pertama menjalinkan kerjasama untuk Siti membawakan lagu-lagu irama tradisional.”

Antara lagu popular ciptaan Pak Ngah nyanyian Siti Nurhaliza termasuk “Ya Maulai”, “Balqis”, “Hati Kama” dan “Badarsila”.

Konsert solo pertama Siti Nurhaliza di Stadium Putra Bukit Jalil merupakan arahan Pak Ngah dan kali terakhir penyanyi itu bekerjasama adalah sewaktu menyanyikan lagu raya Hari Kemenangan dua tahun lalu.

Astro AWANI difahamkan jenazah Pak Ngah akan dibawa pulang esok.

Al-Fatihah untuk arwah. Semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin. Salam takziah untuk keluarga arwah.

Sumber : Astro Awani