Senarai Pemenang Konsert Akhir Big Stage. Tahniah Kepada Semua Pemenang !!

Senarai Pemenang Konsert Akhir Big Stage. Tahniah Kepada Semua Pemenang !!

Program Big Stage merupakan sebuah pertandingan nyanyian terbaru berkonsepkan realiti yang menampilkan bakat muda yang kini popular dengan jolokan Budak Baru Nak Up (BBNU) dalam kalangan penggiat industri hiburan tempatan.

Pada awalnya 10 penyanyi berentap dalam program ini yang mula bersiaran mulai 5 Ogos 2018, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria(104) dan Ria HD (123). Seramai 10 bintang BBNU yang terdiri dari lima bintang lelaki dan lima bintang wanita bersaing di pentas utama ‘Big Stage’ yang  berlangsung selama 8 minggu untuk musim pertama ini.

Peserta lelaki terdiri daripada Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Ariff Bahran, Syafiq Farhain dan Tajul manakala peserta perempuan ialah Baby Shima, Fara Hezel, Sarah Suhairi, Sissy Iman dan Wani Kayrie.

Dua ikon tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir telah dilantik sebagai juri tetap rancangan ini. Sementara itu, seorang juri jemputan juga akan diundang khas secara bergilir pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap untuk mengadili persembahan.

Alif Satar dan Sherry Alhadad menggalas tugas sebagai pengacara Big Stage manakala bakat baru, Eyra Hazali dan Harris Anuar menjadi pengacara Live Plus Big Stage.

Tiada peserta tersingkir pada minggu pertama. Minggu ke 2 menyaksikan kakak kepada penyanyi Aiman Tino iaitu Fara Hazel terpaksa akur untuk meninggalkan Big Stage. Seterusnya seorang demi seorang peserta tersingkir setiap minggu selepas Fara Hazel sehinggalah minggu yang ke 5 iaitu Andi Bernadee, Sissy Iman dan Tajul.

Tiada penyingkiran berlaku pada minggu ke 6 kerana Wani Kayrie diselamatkan dengan imuniti yang diberikan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ariff Bahran yang berada dalam kedudukan tiga terbawah markah daripada juri pula terpaksa akur dengan keputusan undian Tik Tok yang tidak memihak kepadanya pada Konsert Separuh Akhir minggu ke 7.

Malam ini Big Stage telah melabuhkan tirainya setelah 8 minggu dan bersiaran langsung dari Wisma MBSA Shah Alam. Dua juri undangan yang turut mengadili persembahan peserta ialah Mas Idayu dan Mark Adam. Pada konsert akhir ini, 70 markah diberikan oleh barisan juri manakala 30 markah lagi diperolehi dari undian Tik Tok.

Penyanyi remaja yang berasal dari Amerika Syarikat, Alec Benjamin, 24, turut diundang untuk memeriahkan konsert akhir program realiti Big Stage 2018 ini. Terkenal menerusi lagu I Built A Friend, Alec yang juga seorang komposer itu dijangka telah mempersembahkan sebuah lagu baharu ciptaannya sendiri berjudul Let Me Down Slowly.

Pelawak Nabil Ahmad dan Jihan Muse turut muncul bagi memperkenalkan program Gegar Vaganza Musim Ke 5 yang akan mula bersiaran pada minggu hadapan. Gegar Vaganza musim baru ini masih mengekalkan 2 pelawak ini sebagai pengacara.

5 peserta yang telah tersingkir awal turut membuat persembahan pada malam ini.  Di akhir rancangan, kedua-dua juri tetap membuat persembahan nyanyian sebelum pengumuman pemenang.

Faizal Tahir menyanyikan lagu terbarunya yang bertajuk Ragaman. Manakala Datuk Siti Nurhaliza berduet dengan Alif Satar menyanyikan lagu Kisah Ku Inginkan nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza dan Judika.

5 finalis yang berjaya menempatkan diri di Konsert Akhir Big Stage adalah :

1) Wany Kayrie

2) Baby Shima

3) Syafiq Farhain

4. Afieq Shazwan

5. Sarah Suhairi

Setiap peserta membuat 2 persembahan, 1 lagu nyanyian asal dari penyanyi lain (cover penentuan) dan 1 lagu lagi adalah lagu single baru mereka sendiri. Di bawah adalah senarai lagu yang dinyanyikan oleh finalis pada malam ini :

Single Baru :

  1. Wani Kayrie – Saat Terindah
  2. Baby Shima – Sirna
  3. Syafiq Farhain – Aku Jatuh Cinta
  4. Afieq Shazwan – Darjat
  5. Sarah Suhairi – Nyawa & Raga

Cover Penentuan :

  1. Wani Kayrie – Pematah Hati (Nabila Razali)
  2. Baby Shima – Police Entry (Elizabeth Tan)
  3. Syafiq Farhain – Antara Hujan & Airmata (Sudirman Haji Arshad)
  4. Afieq Shazwan – Footloose (Blake Shelton)
  5. Sarah Suhairi – Awan Yang Terpilu (Ning Baizura)

Datuk Siti Nurhaliza menitiskan air mata selepas Wani Kayrie menyanyikan single terbarunya yang bertajuk Saat Terindah. Sebelum persembahan, skrin telah memaparkan gambar Wani Kayrie semasa kecil bersama arwah ayahnya. Ini membuatkan Wani Kayrie menyanyikan lagu ini dengan lebih beremosi dan bergenangan ari mata.

Berikut ialah senarai pemenang Konsert Akhir Big Stage :

Tempat Kelima – Baby Shima 58.56% (Hadiah Wang Tunai RM5, 000 dan trofi)

Tempat Keempat – Wany Kayrie 62.15% (Hadiah Wang Tunai RM10, 000 dan trofi)

Tempat Ketiga – Afieq Shazwan 62.17% (Hadiah Wang Tunai RM25, 000 dan trofi)

Naib Juara – Syafiq Farhain 64.37% (Hadiah Wang Tunai RM50, 000 dan trofi)

Juara – Sarah Suhairi 66.05% (Hadiah Wang Tunai RM100,000 dan trofi)

Kami di Berita Kopak ingin mengucapkan tahniah kepada Sarah Suhairi dan juga semua pemenang. Teruskan mewarnai muzik tanahair dan selamat maju jaya.

By Berita Kopak

 

 

1 thought on “Senarai Pemenang Konsert Akhir Big Stage. Tahniah Kepada Semua Pemenang !!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *