Doktor Mengesahkan Ummar Zayyan Mengalami Masalah Penglihatan dan Pendengaran

Doktor Mengesahkan Ummar Zayyan Mengalami Masalah Penglihatan dan Pendengaran Akibat Pendarahan Dalam Otak Dan Mata Selepas Tidak Sedarkan Diri Di Rumah “Pengasuh Dari Neraka”

Seremban: Bayi empat bulan yang dimasukkan ke hospital selepas tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di sini, berkemungkinan menghadapi masalah penglihatan dan pendengaran.

Ibunya, Zura Emilia Mokhtar, 26, berkata, doktor mengesahkan perkara itu ketika membenarkan anak tunggalnya, Muhammad Umar Zayyan Muhammad Haikal Hafiz dibawa keluar dari Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Khamis lalu.

“Doktor mengesahkan terdapat sedikit pendarahan di bahagian mata anak saya yang menyebabkannya dia mengalami masalah penglihatan.

“Hasil ujian pendengaran yang dijalankan doktor juga mendapati Muhammad Ummar Zayyan mengalami masalah pendengaran,” katanya dihubungi di sini, semalam.

Zura Emilia berkata, buat masa ini doktor masih tidak dapat mengesahkan sama ada keadaan anaknya akan kembali pulih seperti sediakala atau sebaliknya.

“Saya hanya ikut apa saja nasihat dan rawatan yang disyorkan doktor. Selain itu, saya dan suami juga mencuba rawatan alternatif bagi memulihkan anak.

“Sedih memang sedih. Tetapi saya tidak boleh putus asa dan lemah semangat. Saya dan suami akan cuba yang terbaik bagi membantu Muhammad Ummar Zayyan,” katanya.

Ditanya perkembangan terkini anaknya itu, Zura Emilia berkata, anaknya kini tidak lagi memerlukan mesin bantuan pernafasan dan boleh menyusu seperti biasa.

“Dia hanya kurang aktif berbanding dulu dan tidak lagi memberi reaksi kepada bunyi-bunyian di sekeililingnya.

“Saya berharap rakyat Malaysia akan terus mendoakan supaya anak saya kembali pulih,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Ummar Zayyan kritikal akibat pendarahan dalam otak dan mata selepas tidak sedarkan diri di rumah pengasuhnya di Mambau, dekat sini, pada 20 Ogos lalu.

Kejadian yang menimpa bayi itu tular di media sosial selepas dikongsi netizen dan mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk ada yang mengecam pengasuh terbabit.

Sumber : Harian Metro

Polis tahan pengasuh bayi lelaki, Muhammad Ummar Zayyan

SEREMBAN – Seorang pengasuh berusia 23 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes seorang bayi lelaki berusia empat bulan, Muhammad Ummar Zayyan Mohamad Haikal Hafiz, yang tidak sedarkan diri ketika dalam jagaannya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, wanita itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Seremban pada pukul 8.45 malam tadi.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk permohonan tahanan reman bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hock Poh berkata, pihaknya menerima laporan yang dibuat ibu mangsa pada pukul 10.52 malam, ​​​​​​Isnin lepas.

“Dalam laporannya, pengadu menyatakan pada hari yang sama lebih kurang pukul 7.07 malam, pengadu mendapat tahu daripada pengasuh menyatakan anaknya dalam keadaan lemah setelah menangis dengan kuat.

“Suami pengadu terus pergi ke rumah pengasuh yang terletak di Taman Sri Mambau dekat sini untuk mengambil anak mereka dan dibawa ke hospital,” katanya.

Media sebelum ini, melaporkan ibu kepada Muhammad Ummar Zayyan, Zura Emilia Mokhtar berkata, anaknya kini sedang dirawat di Pusat Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) dekat sini dan belum sedarkan diri.

Doktor yang merawat mengesahkan anaknya mengalami pendarahan dalam otak serta mata dan kini diberi bantuan pernafasan. – Bernama

Sumber : Kosmo Online