Kisah Wanita Ini Kehilangan Suaminya Yang Dijemput Ilahi Ketika Inai Di Jari Masih Belum Hilang Buat Ramai Yang SEBAK !!

Kisah Wanita Ini Kehilangan Suaminya Yang Dijemput Ilahi Ketika Inai Di Jari Masih Belum Hilang Buat Ramai Yang SEBAK !!

Kuala Lumpur: Dalam keadaan masih baru merasai kemanisan rumah tangga, wanita ini perlu akur dengan ketentuan takdir apabila suami dicintai dijemput Ilahi ketika usia perkahwinan mereka baru menjangkau dua bulan.

Ketika inai di jari masih belum hilang, arwah suaminya, Mohammad Abdullah, 23, pergi dengan turut meninggalkan zuriat yang kini dalam kandungannya berusia beberapa minggu sebagai pengganti diri.

Isteri arwah, Nursyafira Nasir, 23, mengakui reda dengan kehilangan suami yang dinikahi pada 13 Jun lalu akibat kemalangan di pintu masuk Hospital Permai, Johor Bahru, 31 Ogos lalu.

“Suami yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah dilanggar sebuah kereta yang membuat pusingan U di tempat larangan.

“Saya difahamkan arwah meninggal dunia di tempat kejadian jam 9 malam dan mengetahuinya jam 9.40 malam.

“Ketika itu saya berada di Baling, Kedah untuk mengemas barang kerana mahu berpindah ke kampung suami di Kempas, Johor Bahru,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Luahan sedih Nursyafira di Facebook miliknya menjadi tular dan dikongsi 3,200 orang serta mendapat 3,300 komen yang mengucapkan takziah kepadanya.

Nursyafira berkata, agak sukar untuk menerima kehilangan suami berikutan belum puas berkasih sayang walaupun kenal 10 tahun sejak di bangku sekolah.

“Namun, saya perlu bersyukur kerana Allah SWT tetap memberi peluang buat kami bersama lebih dua bulan untuk saya bermanja dengan arwah.

“Walaupun arwah suami meninggalkan saya, namun Dia meniupkan satu nyawa dalam rahim saya sebagai bukti kasih sayang kami dan pengganti dirinya,” katanya.

Menurutnya, sebelum suaminya menghantarnya ke rumah kakak di Kuala Lumpur untuk pulang ke Kedah pada 26 Ogos lalu, suaminya menunjukkan petanda seolah-olah tahu dirinya akan pergi jauh.

“Namun saya tidak perasan dan apabila saya menangis, arwah meminta saya menangis sepuas-puasnya kerana katanya, selepas ini dia tidak dapat menyapu air mata saya.

“Ketika itu saya menangis semahunya namun selepas dia tiada, baru saya perasan petanda dia meninggalkan saya,” katanya.

Nursyafira berkata, arwah suaminya yang bekerja sebagai penjual kelapa dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Alif, Johor Bahru, 1 September lalu.

*****

Salam takziah kepada keluarga arwah. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin..

Sumber : Harian Metro