Wanita Ini Kena ‘Troll’ Dengan Suaminya Gara-Gara ‘Tikar Alakazam’ Yang Dibelinya Secara Online

Wanita Ini Kena ‘Troll’ Dengan Suaminya Gara-Gara ‘Tikar Alakazam’ Yang Dibelinya Secara Online

PETALING JAYA: Memang sukar dipercaya, tapi seorang wanita tular di Facebook apabila dia berjaya membeli ‘tikar alakazam’ daripada sebuah gedung beli-belah dalam talian popular negara ini.

Cuma, bezanya tikar itu tidak boleh dibawa terbang seperti sedutan filem Laksamana Do Re Mi yang dibintangi oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Insiden itu tambah mencuit hati apabila ia menjadi bahan jenaka suaminya yang bertindak menyunting sekeping gambar dan kemudian menampalnya di atas foto Laksamana Do Re Mi bersama tikar terbang tersebut.

Semua itu berpunca daripada salah faham ketika Nur Anisa Abdul Talip, 27, ingin membeli karpet untuk ruang tamu kediamannya yang dijual di laman web Lazada.

Melalui posting tersebut, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata: “Oh Lazada… selalu geli hati tengok dekat susur masa orang membuat tempahan dapat barang kecil daripada jangkaan.

“Sekarang, giliran saya pula. Sekali buka, besar tikar alakazam je,” tulisnya pada Selasa.

Posting tersebut menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dan mendapat lebih 9,800 tanda suka serta lebih 4,900 perkongsian.

Pemilik restoran Talip Nasi Ayam itu berkata, dia dan suami berada di restoran mereka ketika pihak Lazada membuat penghantaran karpet tersebut.

“Mulanya, saya tak syak apa-apa sebab bungkusannya nampak sepadan dengan saiz karpet yang saya nak beli tu.

“Tapi, tak sangka lepas buka bungkusan, karpet yang sampai sebesar tikar alakazam sahaja. Memang tergelak besar lah kami,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Tambahnya, selepas posting tersebut tular, terdapat beberapa pelanggan yang datang ke restorannya di Gelang Patah, Johor Bahru mengusik dan bertanyakan tentang karpet itu kepadanya.

Kata Nur Anisa, biarpun terpaksa menunggu selama dua minggu untuk menerima karpet tersebut yang dipos dari China, dia sedikitpun tidak marah kepada pihak Lazada kerana menganggap ia bukan perkara yang harus diperbesarkan.

Ujarnya, dia sudah membuat laporan kepada Lazada dan mengisi permohonan untuk mendapatkan bayaran balik kerana barangan yang ditempah tidak menepati spesifikasi seperti yang dinyatakan pada laman web tersebut.

Kejadian tersebut bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini seorang penyelia tapak pembinaan juga pernah membeli jack kereta daripada gedung yang sama.

Muhammad Syairozi Mohd Ali, 29, memberitahu jack kereta yang ditempahnya pada 23 Februari lalu bukanlah jack kereta sebenar sebaliknya ia khusus untuk kereta kawalan jauh.

Sementara itu, seorang jurusolek sepenuh masa pula tersilap menempah alat penimbang aksesori bagi dekorasi mini rumah anak patung pada Ogos tahun lalu.

Sumber : Mstar