Perkongsian Mizz Nina Mengenai Isu Zuriat Buat Ramai Yang SEBAK !!

Perkongsian Mizz Nina Mengenai Isu Zuriat Buat Ramai Yang SEBAK !!

KUALA LUMPUR: Belajar tidak lagi sensitif setiap kali ditanya soal zuriat, Mizz Nina menganggap kejayaan dalam hidup bukanlah semata-mata bersandarkan kepada faktor diri sudah berkahwin atau memiliki anak.

Tidak pernah menganggap ketiadaan cahaya mata selepas tujuh tahun berkahwin dengan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh sebagai suatu kekurangan, Mizz Nina, 38, sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah.

“Bagi saya, kalau nak bercakap mengenai sukses dalam hidup, tidak hanya dikaitkan dengan mempunyai anak mahupun ada suami atau isteri.

“Sukses dalam hidup bagi saya adalah akhirat. Apa yang dikira untuk ke syurga adalah perbuatan baik kita. Tiada gerenti apabila saya mempunyai suami atau anak, saya akan ke syurga,” katanya kepada BH Online.

Mizz Nina atau nama sebenarnya, Shazrina Azman berkata, dia sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diberi Allah.

“Kalau ada rezeki, Allah nak bagi saya anak, Alhamdulillah. Kalau Allah tak bagi pun, saya tetap bersyukur… Ini bermakna, saya ada tugas berbeza.

“Mungkin Allah tak bagi saya anak sekarang supaya saya boleh fokus pada aktiviti kemanusiaan dan pengajian saya dalam bidang al-Quran.

“Pucuk pangkalnya, kita harus berfikiran positif dan bersyukur dengan semua yang Allah kurniakan,” katanya.

Namun, Mizz Nina berkata, dia tidak pernah berputus harap dan berusaha menimang cahaya mata.

Tidak menafikan sebelum ini dirinya agak sensitif tatkala diaju soal anak, Mizz Nina berkata, dia belajar untuk menerima semua itu secara positif.

“Baru-baru ini saya berkongsi di saluran YouTube mengenai pengalaman menjalani proses In Vitro Fertilization (IVF)… Namun, belum dikurniakan rezeki lagi.

“Sudah tentu kami tidak berputus asa dan berdoa. Semuanya dari Allah… Apa yang saya minta hanya berdoa untuk saya,” katanya.

Nina ditemui pada sidang media program Yasmin Mogahed Malaysia Tour 2018 di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Nina sebagai pengasas Dops TV bekerjasama dengan Institut Al Maghrib menganjurkan program bersama pensyarah motivasi tersohor dari Amerika Syarikat, Yasmin Mogahed di ibu negara, selama dua hari pada 24 Ogos ini.

Orang ramai berminat untuk menyertai program itu boleh mendapatkan tiket di laman almaghrib.my/yasmin.

Dalam perkembangan lain, Nina dan Noh akan berangkat ke Turki pada 26 Ogos bagi menyertai misi kemanusiaan sempena Aidiladha.

“Insya-Allah saya bersama Noh akan meluangkan seminggu di Turki. Teruja melihat bagaimana budaya mereka menyambut Aidiladha dan doakanlah misi kami ini selamat,” katanya.

Sumber : Berita Harian