“ Saya berlari ke arahnya, pangku tubuhnya dan hanya mampu memanggil namanya, Ammar… Ammar… beberapa kali, namun dia tidak bergerak dan matanya terus tertutup.. “

“ Saya berlari ke arahnya, pangku tubuhnya dan hanya mampu memanggil namanya, Ammar… Ammar… beberapa kali, namun dia tidak bergerak dan matanya terus tertutup.. “- Al-Fatihah..

SERDANG: Luluh hati seorang bapa sebaik menyedari sekujur tubuh kanak-kanak yang terbaring di jalan raya akibat digilis sebuah van sekolah di Jalan B10/5 Taman Bukit Serdang di sini, adalah anaknya sendiri.

“Saya berlari ke arahnya, pangku tubuhnya dan hanya mampu memanggil namanya, Ammar… Ammar… beberapa kali, namun dia tidak bergerak dan matanya terus tertutup.

“Mulutnya pula sedikit tercungap-cungap seperti susah bernafas sehinggalah ambulans tiba kira-kira 15 minit kemudian,” kata Mohd Azrai Abd Rahman ketika menceritakan kembali kejadian yang meragut nyawa anak ketiganya, Aazad Ammar, lapan tahun, kelmarin.

Menurut Mohd Azrai, 40, ketika kejadian beliau pulang dari kerja dan kebetulan berada di dalam kereta di anjung rumah.

“Saya terkejut melihat pengawal keselamatan datang berlari memanggil saya dan menunjukkan tangan ke arah jalan.

“Saya terus berlari ke arah jalan utama di mana kejadian berlaku dan sebaik nampak beg sekolah Ammar, saya tahu anak saya yang dilanggar van berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman mereka di Taman Bukit Serdang di sini, hari ini.

Katanya, Ammar kemudian dikejarkan ke Unit Kecemasan Dan Rawatan Rapi (ICU) Hospital Serdang namun disahkan meninggal dunia pada jam 7.25 malam, hari yang sama akibat kecederaan dalaman.

Sementara itu, Noor Adzlina Ibrahim, 38, berkata tingkah laku Ammar yang juga anak ketiganya daripada empat beradik itu nampak lain ketika menghantarnya ke sekolah agama di Seri Petaling kira-kira 7.30 pagi hari kejadian.

“Biasanya sebelum turun kereta, Ammar mesti akan peluk dan cium saya dan cakap ‘I love you, ibu’ namun pagi itu dia terus turun.

“Saya panggil dia dan tanya ‘Ammar lupa peluk ibu?’.. dia kemudian datang semula dan peluk cium saya namun pelukan kali ini lain daripada biasa, dia peluk saya agak lama.

“Apa yang lebih membuat saya lebih terasa adalah apabila dia berdiri di tepi pintu masuk sekolah dan memerhati saya sehingga saya beredar.. itu sebenarnya pandangan terakhir Ammar kerana dia tidak pernah berbuat begitu,” katanya sebak.

Menurut Mohd Azrai, beliau amat kesal dengan kelalaian dan kecuaian pemandu van berkenaan kerana kejadian buruk itu boleh dielakkan sekiranya dia lebih bertanggungjawab ketika menjalankan tugasnya.

“Dia turunkan Ammar di lokasi tidak selamat iaitu di tepi jalan besar dan pintu van tempat pelajar turun pula tidak berada di bahagian bahu jalan sebaliknya mengadap ke jalan besar.

“Dia dakwa tidak perasan Ammar kerana berada dalam kedudukan ‘blind spot’ (titik buta) namun saya tidak boleh terima alasan itu kerana dia sepatutnya memastikan Ammar turun dengan selamat barulah memulakan perjalanan semula,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan pada masa sama, bercadang untuk mengambil tindakan sivil terhadap pengusaha van sekolah berkenaan.

“Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku kepada ibu bapa lain dan harap ia menjadi pengajaran kepada pengusaha bas dan van sekolah terutama dikalangan Bumiputera.

“Ini kerana kita nampak mereka (pengusaha Bumiputera) kurang mengambil berat hal keselamatan penumpang yang terdiri daripada kanak-kanak dan pelajar sekolah,” jelas beliau.

Sumber : Berita Harian