” Orang Melayu kini terbangsat di negara sendiri.. ” – Najib Razak

” Orang Melayu kini terbangsat di negara sendiri.. ” – Najib Razak

SYAHDU… wajah Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan ketika doa dibacakan pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pekan, hari ini. – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan, orang Melayu kini terbangsat di negara sendiri, sejak UMNO kehilangan kuasa sebagai pemerintah.

Beliau yang juga bekas Presiden UMNO, berkata selepas menyelesaikan pemilihan, semua ahli UMNO kini perlu meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan mereka, dalam usaha membina semula kekuatan.

Najib juga menggesa semua pihak dalam parti itu, belajar dari kesilapan lalu, sambil memperkuatkan perpaduan dan kasih sayang sesama ahli.

“Kita hendaklah berhenti berbalah. Elakkan membuat tohmahan yang boleh menjejaskan perpaduan UMNO jika ingin memulihkan kekuatan parti dan mengangkat perjuangan agama, bangsa dan negara.

“Orang Melayu tidak boleh berharap kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk mempertahankan dan memperjuangkan nasib mereka. Ini kerana kekuatan parti Melayu mereka (PH) datang dari sokongan orang bukan Melayu,” katanya dalam catatan terbaru menerusi Facebook, malam ini.

Najib mendakwa, setakat ini, kerajaan Pakatan Harapan mengizinkan pencabulan terhadap bahasa Melayu, agenda Islam dan Bumiputera juga tidak akan mendapat tempat utama dalam pentadbiran mereka.

“Saya pernah sebut Melayu akan terbangsat di negara sendiri jika UMNO hilang kuasa. Kita (UMNO) sudah terlepas kuasa dan mesti tabah hadapi ujian Allah SWT ini.

“Insya-Allah, dengan adanya perpaduan yang lebih kukuh dan kasih kepada parti, UMNO boleh mengembalikan semula keyakinan rakyat terutamanya orang Melayu,” katanya.

Sumber : Berita Harian

 

Jamal Menang Di Sungai Besar

Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar menyaksikan ucapan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos melalui rakaman video di Dewan UMNO Bahagian Sungai Besar. – Foto Amirul Aiman Hamsuddin

SUNGAI BESAR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang menjadi buruan polis, berjaya mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti itu hari ini.

Beliau menewaskan pencabarnya yang juga bekas Setiausaha UMNO bahagian itu, Datuk Masloro Abdullah.

Jamal memperoleh undi 347 undi berbanding Masloro yang menerima 240 undi.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Ramli Norani, pula mempertahankan jawatan itu selepas menewaskan pencabarnya, Ketua UMNO Cawangan Tali 13 Sungai Nipah, Abdul Wahab Sarman.

Budiman Mohd Zohdi menang tanpa bertanding jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar.

Sumber : Berita Harian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *