Loading...
Jenayah

Bapa Altantuya Shaariibuu Akan Dibawa Jumpa Tun Mahathir Dalam Masa Terdekat

Bapa Altantuya Shaariibuu Akan Dibawa Jumpa Tun Mahathir Dalam Masa Terdekat

RAMKARPAL Singh iaitu peguam kepada bapa Altantuya Shaariibuu yang mati dibunuh di negara ini pada 2006 berkata, pihaknya akan membawa bapa model itu ke Malaysia untuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau sedang menguruskan perjalanan Shaariibuu Setev ke negara ini dan dijangka tiba dalam tempoh seminggu dua ini.

“Keputusan kerajaan Australia untuk ekstradisi Sirul Azhar Umar (yang disabit kesalahan membunuh Altantuya) balik ke Malaysia adalah satu perkembangan yang positif, baik untuk menegakkan keadilan terhadap Altantuya, ia langkah pertama untuk tujuan siasatan semula diadakan.

Loading...

“Kita tahu siapa yang membunuh dia (Altantuya), dia dibunuh oleh Sirul dan Azilah Hadri (bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Diraja Malaysia).

“Ini adalah dapatan dan fakta oleh Mahkamah Persekutuan, satu keputusan muktamad… tetapi yang (kita) tidak tahu ialah siapa yang mengarahkan pembunuhan, isu ini perlu dibangkitkan atau didedahkan sekarang,” katanya kepada pemberita di Georgetown, hari ini.

Ramkarpal berkata, pihaknya juga akan memohon supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat motif di sebalik pembunuhan Altantuya.

Ramkarpal turut merayu Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas, mempertimbangkan dengan serius siasatan terhadap pembunuhan Altantuya dibuka semula.

Pada 9 April 2009, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas mendapati mereka bersalah membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara jam 10 malam pada 19 Oktober dan jam 1 pagi pada 20 Oktober 2006.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada tuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 13 Januari 2015, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pihak pendakwa dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan serta memutuskan bahawa Sirul Azhar dan Azilah bersalah serta menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap mereka.

Sumber : Harian Metro

Loading...
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *